Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” (2013).
Buku berkenaan diedarkan secara percuma bersama-sama buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) pada Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Wakil MAIS memberitahu wartawan The Malaysian Insider (25 Mei 2014) bahawa buku berkenaan hanya diedarkan kepada masyarakat Islam. Pada hakikatnya, ia diedarkan juga kepada peserta Kristian yang dipaksa menghadiri seminar berkenaan.
Saya berpeluang membaca buku itu pada 30 Mei 2014 dan memperoleh pelbagai maklumat menarik. Memandangkan buku tersebut dalam Bahasa Inggeris, mungkin sebahagian khalayak sasaran menghadapi masalah untuk memahami kandungannya.
Jika perkara itu berlaku, tentulah usaha dan niat murni MAIS menjadi sia-sia. Tambahan pula, dalam isu kalimah Allah yang menjadi fokus utama buku ini, MAIS menekankan bahawa “penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebenarnya bertujuan memecah-belah (split) orang Melayu-Islam” (halaman 45).
[caption id="attachment_3560" align="alignleft" width="300"] Buku ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak terkeliru.[/caption]
Bab 3 dimulakan dengan penerangan kandungan Perkara 4 (1), Perkara 3 (1), Perkara 11 (1), Perkara 11 (4) dan Perkara 11 (5) dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia antara lain menyentuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak beragama, dan larangan menyebarkan agama-agama lain kepada orang Islam.
Pembaca diingatkan (halaman 18) bahawa penyebaran agama-agama lain, termasuk pengedaran buku atau petikan ajaran selain Islam dalam Bahasa Malaysia kepada orang Islam, serta penggunaan perkataan-perkataan yang berasal daripada ajaran Islam adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan negara.
Turut ditekankan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam) melanggar Perkara 11 (4) kerana “Allah” dalam konteks keagamaan adalah milik eksklusif Islam.
“Adalah menjadi penghinaan kepada Islam dan Muslim jika kalimah Allah disalahguna mengikut citarasa dan keinginan penganut agama lain,” kata MAIS sehingga membuatkan saya tertanya-tanya apakah saya yang tidak faham Perkara 11 (4) selama ini.
Entah bagaimana MAIS berjaya mengaitkan kedua-duanya! Walau bagaimanapun, saya tidak mahu masuk campur dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Herald kerana Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan kes pada 23 Jun 2014.
Apa yang saya lakukan hanyalah memperkatakan, menghuraikan serta menterjemahkan sebahagian kandungan buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” demi manfaat sebahagian individu yang menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014 tetapi menghadapi kesukaran memahami kandungan buku berkenaan.
Umat Islam mudah dikelirukan orang Kristian?
Sebenarnya, isu kalimah Allah bukan sesuatu yang baru. Mesyuarat Kabinet pada 16 Mei 1986 memutuskan bahawa kalimah Allah termasuk perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya oleh orang Tidak Islam (halaman 20).
Selain daripada Allah, perkataan seperti baitullah, solat dan Kaabah turut digazetkan sebagai milik eksklusif orang Islam pada 5 Disember 1986. Keputusan sama khabarnya dipersetujui Mesyuarat Kabinet pada 18 Oktober 2006, 1 November 2006 dan 3 Januari 2008.
Menurut MAIS, Majlis Fatwa Kebangsaan juga sudah membincangkan pada 5-7 Mei 2008 berhubung isu tuntutan orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah. Fatwa yang dikeluarkan adalah bahawa kalimah Allah merupakan eksklusif untuk Islam dan Muslim, serta tidak boleh digunakan oleh agama-agama lain.
Antara penjelasan yang diberikan adalah bahawa kalimah Allah yang digunakan orang Islam adalah nama khas. Istilah Allah pula tidak pernah digunakan dalam bahasa asal Bible. Istilah yang digunakan dalam Bahasa Greek adalah Theos dan diterjemahkan sebagai God dalam Bahasa Inggeris.
“Maka orang Kristian yang bertutur bahasa Melayu masih boleh mengamalkan agama mereka dengan menggunakan perkataan Tuhan tanpa perlu meminjam nama Allah Yang Maha Suci kerana tindakan itu menjadi satu bentuk penyalahgunaan nama Allah,” menurut penjelasan yang diberikan.
[caption id="attachment_3559" align="alignleft" width="300"]
Antara hujah yang digunakan oleh MAIS dalam buku ini.[/caption]
Turut dihujahkan bahawa kalimah Allah tidak pernah muncul dalam Old Testament (Torah) yang ditulis menggunakan Bahasa Hebrew dan New Testament (Bible) yang menggunakan Bahasa Greek. Perkataan yang digunakan bagi Tuhan adalah El, Eloah, Elohim dan YHWH.
Apabila membaca segala maklumat dalam buku ini, pembaca pasti akan teringat akan hujah-hujah hampir sama dan serupa dalam kes mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Seolah-olah teks yang sama dikitar semula.
Salah satu perkara yang boleh dianggap keterlaluan adalah sikap MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang terlalu obses terhadap apa yang mereka bayangkan sebagai “agenda kristianisasi”.
Realiti takut akan bayang-bayang sendiri juga menjadi asas penerbitan buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh turut dijadikan “panduan untuk mereka yang mahu murtad” – rujuk “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014).
Dalam buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” dinyatakan sekali lagi bahawa satu-satunya sebab orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah adalah untuk “mengelirukan orang Muslim” dan mengatakan bahawa semua agama adalah sama.
Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua. Saya tidak pasti jika ada pihak (termasuk MAIS) yang mahu berkata sebaliknya. Sebagai pengamal multifaith, saya juga menegaskan bahawa Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua, tiga, empat, lima.
Jangan sampai anggap ada Tuhan lain!
Apabila sudah sah dan diakui bahawa Tuhan Maha Esa, mengapa pula ada pihak tertentu (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berhujah seolah-olah adalah lebih daripada satu Tuhan? Lebih menakutkan apabila mereka (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berkata “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” seolah-olah ada lebih daripada satu Tuhan.
Dalam menangani hal ini, jangan pula ada pihak yang terkeliru lalu berhujah bahawa “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” sama maksudnya dengan pendirian “Bagiku agamaku, bagimu agamamu.” Kita perlu mampu memahami apa itu “Tuhan” dan apa itu “agama” sebelum membuka mulut.
Berbalik kepada minat dan keghairahan MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan menghina dan memfitnah agama Kristian, perkara sama dilakukan di halaman 23. Disajikan tuduhan bahawa Bible telah diubah dan dipinda mengikut keinginan paderi Kristian, sehingga akhirnya orang Kristian tidak lagi tahu nama Tuhan mereka.
Sekali lagi dikatakan bahawa niat orang Kristian menterjemah God sebagai Allah dalam Bible versi Bahasa Malaysia adalah supaya penganut Islam juga menjadi seperti mereka (orang Kristian) yang tidak tahu makna sebenar Tuhan.
Tentu sahaja saya tidak berniat mempersoalkan bidang kuasa MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Bagaimanapun, tentulah amat menyedihkan apabila Islam yang suci dicemari dengan tindakan pihak tertentu yang seolah-olah memperalatkan Islam dan Allah untuk menghina, memperlekeh, memperbodoh, memfitnah dan menyalahkan agama Kristian dan pengikut ajaran Krsitian.
Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor membuat keputusan berhubung isu kalimah Allah pada 10 Jun 2008 sebelum digazetkan pada 27 Januari 2010. Perkara itu khusus berkaitan “isu tuntutan hak orang Kristian menggunakan kalimah Allah”.
Seksyen 9 dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 menyenaraikan sejumlah perkataan dan frasa Bahasa Arab yang tidak boleh digunakan oleh orang Tidak Islam di luar konteks Islam.
Harap maklum bahawa peraturan itu sebenarnya bukan melarang atau mengharamkan terus penggunaan Allah, Illahi, rasul, nabi, dakwah, fatwa, wahyu, subhanallah, masya-Allah, alhamdulillah, insya-Allah dan sebagainya.
[caption id="attachment_3561" align="alignleft" width="300"]
Bab 3 melihat isu kalimah Allah dari sudut perundangan.[/caption]
Sekiranya Seksyen 3 (kriteria menentukan sama ada seseorang itu Islam), Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 12 dilihat bersama-sama Seksyen 9, maka kita akan lebih memahami perkara ini serta tidak mudah tertipu.
Malah, Seksyen 9 (1) dan Seksyen 9 (2) menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan jika seorang individu Tidak Islam menggunakan perkataan dan frasa “terlarang” itu dalam konteks agama Islam serta dalam bentuk petikan atau rujukan (quotation or reference).
Pembaca sasaran (Melayu-Islam) serta orang ramai (Tidak Islam) yang berpeluang membaca buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” wajar menghadam buku ini secara menyeluruh dan bijak supaya tidak tertipu, terkhilaf atau terpengaruh dengan agenda anti-Kristian yang seolah-olah menjadi asas kebanyakan buku terbitan MAIS.
Insya-Allah kita tidak akan termasuk dalam golongan yang dimurkai dan dilaknati Allah.
Ke arah pencapaian Islah Muslim
Makalah ini penyambungan kepada makalah awal yang bertajuk Krisis pemikiran politik Islam
Al-Quran bercakap tentang kemuliaan anak-anak Adam (17:70), tetapi sebahagian Muslim bercakap tentang kemuliaan dan kehormatan Muslim semata-mata, lantas mengabaikan hakikat setiap manusia mesti dimuliakan dan ada hak-haknya yang wajib ditunaikan.
Al-Quran menyebut tentang konsep keadilan dalam menjatuhkan hukuman antara manusia (4:58), ada yang melupakan soal manusia selain mereka, lantas hanya bercakap soal adil dan saksama “sesama kami”, yang menganut agama kami!
Al-Quran melarang kaum Muslim daripada bersikap tidak adil sekalipun terhadap kaum yang mereka benci (5:8), sebahagian Muslim pula bercakap soal lebih baik mengundi pemimpin Muslim yang jadong berbanding bukan-Muslim yang berkredibiliti dan terbukti keadilannya dalam mengurus tadbir.
Apabila risalah agama merupakan kasih sayang untuk sekalian alam (21:107) bukan semata-mata untuk Muslim apatah lagi bangsa Melayu, bererti wacana negara yang mahu ditegakkan atas aspirasi dan keyakinan beragama haruslah memberi kebaikan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial.
Atas nama Islah, kita bermula
Kita tiada pilihan lain, selain keluar dari kejumudan dan jalan gelap yang sedang menimpa masharakat kita khasnya di tanah air, kita wajib menggantikan wacana politik yang berorientasikan halalisation danharamisation kepada wacana-wacana soal etika-etika yang berada di sebalik praktikal politik.
Suatu yang baik apabila etika-etika yang diletakkan Islam dalam soal pengurusan keduniaan ialah set etika yang secara asasnya boleh diterima semua agama sekalipun berlaku perdebatan dan perselisihan dalam pemerincian. Krisis yang disebutkan mesti ditangani atas semangat perobahan (at-Taghyiir) dan pembaikian (al-Islah), lantas memerlukan kerjasama banyak pihak sama ada intelektual, ahli politik mahupun masharakat kebanyakan.
Untuk menjelaskan secara ringkas aspirasi Islah dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita, saya menjelaskan pandangan-pandangan di bawah secara ringkas:
1) Revolusi etika (Ethical revolution – at-Thawrah al-Akhlaqiyyah)
Tentang ethical revolution, saya meminjam perkataan yang digunakan oleh intelektual terkenal, Dr Jasser Auda semasa beliau memberi ucapan dalam satu majlis di Qatar pada 9 Mac 2013.Antara yang dinyatakan beliau ialah kita melihat betapa seluruh dunia sedang menghadapi krisis moral dan etika dalam segenap lapangan kehidupan termasuk politik.
Ini adalah zaman di mana sistem kehakiman yang diharap bisa memberi keadilan, sistem kehakiman pula menjadi pelindung kepada pemimpin jadong dan koruptor kelas atasan. Institusi-institusi pendidikan yang asalnya sebagai tempat mendidik manusia dan tempat pembudayaan ilmu, tapi akhinya ia menjadi tempat kreativiti terhalang, kebebasan intelektual menjadi terlarang. Sementara itu, kerusi-kerusi politik bukan lagi menjadi medium melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada masharakat, sebaliknya tempat mengumpul kekayaan dan harta benda.
Reaksi dan respon sebahagian masharakat dunia terhadap sekalian kecelaruan tersebut ialah dengan turun ke jalan raya dan menjatuhkan pemimpin diktator daripada singgahsana kuasa. Itu salah satu tindakan manusia berani dan bermaruah, tapi ia tidak benar-benar cukup karena pada saat ini kita sangat berhajat kepada revolusi intelektual dan spiritual.
Supaya perobahan politik dan dunia yang dicita-citakan itu berlangsung lebih baik, islah radikal pada sisi intelektual dan spiritual sangat diperlukan. Negara bukanlah matlamat akhir, sebagaimana difikirkan oleh sebahagian Islamis ataupun bukan Islamis, tetapi negara salah satu jalan penting demi mencapai kebaikan.
Untuk merealisasikan ethical revolution dalam pemikiran kontemporari politik Islam, wajarlah kita memandang politik dengan melihat ‘apa di sebalik apa’, dan di sebalik pemikiran kontemporari politik Islam, ‘apa di sebalik apa’ ialah objektif-objektif tertinggi Shariah (Maqasid as-Shariah).
Keadilan, amanah, kebebasan, kemuliaan insan, keamanan, kebajikan, perpaduan nasional dan pelbagai lagi nilai-nilai fundamental telah ditinggalkan daripada dibincang serius untuk dicapai dalam praktikal politik tanah air kita. Gerakan-gerakan Islamis dan ahli-ahli politik yang berada di kancah politik mestilah menjadikan sekalian nilai-nilai fundamental sebagai tujuan dan panduan dalam praktikal politik demi kepentingan negara dan warganegaranya.
2) Islam dan demokrasi
Kediktatoran wajib ditolak walau atas apa nama sekalipun, tokoh ilmuan terkenal, Almarhum Mahmud Shaltut menulis:
“Dengan penegasan al-Quran akan prinsip Shura, Islam menghukum musuh dan perosak kemanusiaan; iaitu kediktatoran dalam pemerintahan dan pemikiran, monopoli perundangan, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Demikian juga menetapkan kemuliaan pemikiran terhadap individu-individu, sementara bagi masharakat, haknya yang tabii dalam mentadbir urusan-urusannya.”
Satu perbincangan yang telah lama berlangsung, masih berlangsung dan berkemungkinan akan terus berlangsung ialah mengenai Islam dan demokrasi. Untuk projek al-Islah, kita mesti sentiasa mengulang bahawa jawhar-jawhar agung agama Islam tidak bertentangan dengan konsep-konsep umum yang wujud dalam demokrasi.
Malek benNabi semasa mengulas tentang Islam dan demokrasi, ia menyebut bahawa prinsip-prinsip demokrasi mengajar manusia tentang membebaskan diri daripada diperhamba sesiapa dan daripada memperhamba orang lain, demokrasi juga antara teras utamanya ialah kemuliaan manusia karena ia projek menolak sebarang tindakan perhambaan dan kecenderungan seseorang untuk memperhamba.
Justeru demokrasi menurut Malek benNabi ialah projek pendidikan karamah insaniyyah (human dignity) yang mesti bermula dengan merobah apa yang ada dalam diri manusia terlebih dahulu.
Dalam konteks tanah air kita, pendidikan nilai-nilai teras demokratik mesti terus dipergiat karena kita tidak bisa membina sebuah negara yang demokratik semata-mata dengan meletakkan perkataan demokratik dalam perlembagaan, manifesto atau nama parti, tetapi demokrasi akan berlangsung baik apabila rakyat mengetahui bahawa perjuangan menolak penipuan, korupsi dan kediktatoran ialah perjuangan yang hanya bisa didokong oleh pemilik dhamir yang menghayati nilai-nilai demokratis.
Hanya manusia yang merdeka dan mengangkat kemuliaan insan bisa membina sebuah negara demokratik dan berpartisipasi dalam membentuk sebuah masharakat dan negara yang harmoni. Atas nama demokrasi juga, tidak wajar dihalang partisipasi mana-mana pihak dalam hal-hal kepolitikan selagi mana ia bergerak secara aman.
3) Perbincangan kritikal
Untuk menjayakan aspirasi Islah dan menangani krisis pemikiran kontemporari politik Islam di tanah air kita, wacana kritikal tentang hal tersebut wajar terus dihidupkan. Tanpa menafikan kebaikan wacana antara idea, fahaman dan agama, namun wacana yang bertujuan menyelesaikan hal-hal dalaman pemikiran politik Islam tidak boleh dikesampingkan.
Saya memberi contoh, pembacaan teks-teks klasik tidak wajar berlangsung literal hingga apabila ditanya sesuatu soalan, terus dikeluarkan bulat-bulat apa yang wujud dalam teks-teks klasik. Bahana sikap tersebut ialah timbulnya isu “kafir harbi”, “darul kufr”, “pembangkang khawarij”, “haram pilihanraya” dan sebagainya.
Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk“Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah:
“Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya.
Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.” (hlm. 76)
Demikian juga penilaian kritikal terhadap beberapa isu seperti apabila apa-apa dasar (bersifat “sivil” mahupun “keagamaan”) yang mahu dilaksanakan dalam sesebuah negara, semua pihak wajar terlibat dalam perbahasan dan memberi komentar; tanpa mengira agama, kerana semua merupakan rakyat dan berhak tahu dan memberi respon terhadap apa-apa yang melibatkan negara.
Dalam sesebuah negara, apabila perbahasan berhubung sesuatu dasar dan perdebatan serta komentar dalam hal-hal yang berkait dengan negara, tidak boleh sesetengah pihak menyuruh pihak yang lain “diam” atau “jangan campuri urusan agama/ideologi kami”, negara ini milik semua dan apa-apa bentuk partisipasi hendaklah diizinkan. Adapun yang wajar diberi perhatian oleh semua warga ialah mengelakkan menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman, dan ia sangat berkait dengan soal etika dan kesedaran individu atau masharakat.
Sebahagian pihak teruja amat untuk menutup mulut pihak lain yang mereka tak persetujui dengan pelbagai tuduhan dan kebengisan, sekalipun perdebatan dan perbahasan itu diizinkan dan menurut perlembagaan negara.
Perlu diberi penekanan juga bahawa kepelbagaian identiti tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain. Sebagai contoh seorang lelaki/wanita yang Muslim, maka identiti keagamaannya ialah Islam, dia juga punya identiti sebagai berbangsa Melayu contohnya beserta pelbagai lagi identiti. Dalam masa yang sama dia merupakan seorang warga sebuah negara, identiti kenegaraannya ialah warganegara Malaysia.
Identitinya sebagai seorang Muslim tetap tidak menolaknya untuk terus hidup dan berpartisipasi sebagai anggota masharakat yang punya tanggungjawab dan hak dalam negaranya. Demikian juga identiti-identiti yang lain, kepelbagaian identiti apabila berada dalam sesebuah negara, kita akan menemui titik persilangan dalam beberapa sudut yang umum, tanpa menghapuskan identiti keagamaan dan kebangsaannya.
Dalam sebahagian teks-teks klasik, perbincangan tentang teori identiti difahami secara literal dan jauh dari konteks sejarah oleh sesetengah Muslim, akibatnya (sebagaimana saya sebut berulang kali di atas) ia membawa kepada kekeliruan dalam memahami konsep kesamarataan kewarganegaraan khasnya dalam negara yang jamak agama, bangsa dana budaya. Akhirnya menatijahkan pandangan-pandangan yang “ekslusif” dan “tidak dibenarkan untuk didebatkan” dalam hal-hal bersifat nasional.
Khatimah
Sama ada disedari atau tidak, di tanah air kita krisis pemikiran kontemporari pemikiran Islam sememangnya berlaku, ia jelas tampak apabila kandungan perbincangan dan persoalan yang ditimbulkan masih lagi berlegar-legar pada sudut Muslim dan bukan Muslim, Islam dan demokrasi dan akhirnya menatijahkan halalisation dan haramisation oleh segelintir golongan literal. Untuk menghadapinya kita hanya ada dua pilihan iaitu; pertama, melakukan Islah dan ethical revolution. Kedua, kembali kepada yang pertama.
Dilema MAIS terhadap saudara Kristian
Pendedahan Agenda Kristian (2014).
Buku berkenaan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diedarkan secara percuma kepada para peserta “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Saya sudah selesai membaca Bab 5 (bab terakhir) dan ingin berkongsi pelbagai ilmu serta maklumat yang terkandung dalam bab berkenaan demi manfaat masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan kepercayaan di Malaysia.
[caption id="attachment_3525" align="alignleft" width="300"] Salinan buku diserah di IPD Shah Alam untuk membantu siasatan.[/caption]
Tambahan pula, pada 20 Mei 2014, selepas pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerahkan satu salinan fotokopi buku berkenaan bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, saya singgah di pejabat MAIS di Seksyen 5, Shah Alam.
Saya mendapat pengesahan bahawa seminar di UiTM tempoh hari bukan acara tertutup seperti dikatakan sesetengah pihak, tetapi terbuka kepada umum. Buku berkenaan pula biasanya hanya diedarkan (secara percuma) semasa MAIS mengendalikan program seperti ceramah dan seminar.
Bagaimanapun, jika ada pihak yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (serta pelbagai bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh MAIS), maka boleh sahaja mengemukakan permohonan menerusi surat rasmi dan pasti akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Bagaimanapun, memandangkan bahawa ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kandungan buku tersebut, eloklah saya berkongsi sebahagian daripada kandungannya di sini. Tambahan pula, buku itu sukar diperoleh di mana-mana.
Orang ramai juga boleh membaca makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014) dan “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014) yang turut membicarakan sebahagian kandungan buku ini dari beberapa sudut.
Bab 5 bertajuk “Cadangan Penyelesaian dan Tindakan untuk Menangani Agenda Kristian” dan dikatakan adalah “bab terpenting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh kesatuan dan kekuatan pegangan umat Islam dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)” (halaman 109).
Sikap sebenar Kristian, menurut pandangan MAIS
Perkongsian ilmu, maklumat dan fakta daripada Bab 5 dirasakan amat perlu memandangkan MAIS dalam buku tersebut sudah mengakui bahawa “isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari” (halaman 30).
Dinyatakan bahawa Hindu, Buddha dan Kristian “menjadi pilihan untuk dianuti oleh Muslim di Malaysia yang murtad” tetapi “hanya Kristian yang didapati paling aktif menggerakkan usaha misionari untuk menarik penganut agama lain khususnya Islam menganut agama tersebut” (halaman 34).
[caption id="attachment_3521" align="alignleft" width="300"]
Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah.[/caption]
Atas sebab itulah juga saya merasakan amat perlu untuk menyebar-luaskan kandungan Bab 5 buku Pendedahan Agenda Kristian kepada orang ramai. Saya tidak akan berpihak kepada sesiapa tetapi membiarkan pembaca membuat penilaian sendiri.
Harus diakui bahawa buku ini agak sukar diperolehi buat masa sekarang – susulan laporan polis pada 8 Mei 2014 serta pembukaan fail siasatan kes oleh IPD Shah Alam pada 16 Mei 2014.
Maka, saya akan membuat banyak petikan langsung daripada buku berkenaan tanpa ada sebarang niat melanggar Akta Hak Cipta dan hak moral MAIS selaku penerbit. Petikan kata demi kata (verbatim) juga bagi memastikan saya tidak terkhilaf atau tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam buku.
Enam kesimpulan berkaitan “sikap sebenar Kristian” dipaparkan pada hujung Bab 1 (halaman 16) seperti berikut:
Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam.
Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam.
Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam.
Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga.
Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian).
Manakala Bab 5 pula secara langsung mengemukakan pelbagai cadangan bagi penyelesaian dan tindakan untuk menangani apa yang dilabelkan oleh MAIS sebagai “agenda Kristian”.
Evangelisme Kristian dituduh punca semua masalah
Sebagai langkah muhasabah diri, umat Islam diseru supaya “melihat realiti umat dalam menghadapi cabaran agenda Kristian” berdasarkan lima urutan berikut:
Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (umat Islam) dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)?
Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian akidah umat Islam?
Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahan kemuliaan agama Allah?
Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam)?
Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan bagi terus mempertahan kesucian akidah Islam?
Ringkasnya, tugas-tugas di atas perlu dilakukan dari dalam (kalangan umat Islam sendiri) tanpa perlu menuding jari menyalahkan pihak luar (“musuh-musuh Islam” khasnya orang Kristian). Sekiranya akidah dan keimanan sudah utuh dan kukuh, datanglah apa-apa cabaran, umat Islam di Malaysia akan tetap berdiri teguh.
[caption id="attachment_3524" align="alignleft" width="300"]
MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian.[/caption]
Apabila keimanan tidak kuat dan akidah tidak sempurna (iaitu masalah “dalaman” Islam dan bukannya masalah “dari luar”), barulah timbul beberapa isu seperti “mengiya dan sokong usaha musuh”, “tertipu dengan usaha musuh”, “meremeh usaha amar makruf dan nahi mungkar” serta “keliru dengan tindakan yang harus diambil” (halaman 110).
Walau bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian masih tetap dengan “misi” dan “niat” mahu meletakkan beban kesalahan atas bahu “agenda Kristian” (halaman 110-111). Umat Islam ditanya apakah mereka masih mahu bersangka baik dengan gerakan evangelisme Kristian.
“Masih mahu membela evangelisme Kristian sedangkan Allah telah nyatakan mereka akan selama-lamanya tidak redha kepada orang Islam? Masih mahu berada di zon selesa dan yakin sepenuhnya tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan?” Demikian antara pertanyaan kepada pembaca.
Pada halaman 112-118, dikemukakan “tindakan untuk menghadapi agenda Kristian” yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, institusi agama Islam (peringkat persekutuan dan negeri), institusi pengajian Islam, politikus Muslim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, gerakan belia, pendakwah Islam, umat Islam dan Individu Muslim.
Antara cadangan MAIS yang menarik perhatian saya adalah “mewujudkan dasar keharmonian antara Islam dan Kristian ke arah masyarakat majmuk yang harmoni” serta “meningkatkan elemen pendidikan seperti kempen dan program kepada masyarakat tentang kehidupan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum”.
Perlu sebar Islam kepada orang Kristian
Hal di atas tentulah selaras dengan pengakuan MAIS bahawa “penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian” (halaman vii) dan “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120).
Dalam pada itu, MAIS turut menggesa supaya “menggunakan pelbagai medium penyebaran seperti khutbah Jumaat untuk mendedahkan situasi sebenar masalah kristianisasi di kalangan umat Islam” serta “merangka modul pendidikan khas untuk sekolah agama berkaitan kesedaran kristianisasi”.
Selain daripada “menjalankan penyelidikan tentang cara terbaik menangani usaha kristianisasi ke atas Muslim”, institusi pengajian Islam juga disaran “melahirkan pakar-pakar dalam bidang dakwah kepada golongan Kristian”.
Tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah menyatakan harapan agar “ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan” (Sinar Harian, 19 Mei 2014) kerana dia beranggapan orang Kristian tiada kerja selain menghina Islam.
MAIS pula menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian meminta NGO Islam “melakukan risikan dan berdakwah kepada gerakan Kristian” serta “menjadi feeder kepada kerajaan dan institusi agama untuk menghadapi dakyah Kristian”.
[caption id="attachment_3523" align="alignleft" width="300"]
Penulis sempat berkunjung ke pejabat MAIS baru-baru ini.[/caption]
Sebagai kesimpulan (halaman 119-120), salah satu perkara yang diingatkan kepada umat Islam di negara berpenduduk majmuk ini adalah supaya “waspada dengan taktik, cubaan dan strategi gerakan evangelisme Kristian yang sentiasa tidak reda dan berusaha untuk menghancurkan Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka”.
MAIS ternyata “merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam” walaupun “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Ada semacam dilema dan unsur ironi yang amat nyata.
Sewaktu berkunjung ke pejabat MAIS pada 20 Mei 2014, saya dimaklumkan bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian agak sulit (sukar) diedarkan sekarang berikutan isu seminar anti-Kristian di UiTM yang sedang hangat dan masih dalam siasatan polis.
Dalam keadaan seperti itu, besarlah harapan saya bahawa makalah ringkas ini mampu membantu masyarakat memahami sebahagian kandungan buku berkenaan. Saya tidak mahu “menghukum” pada kali ini, sebaliknya menyerahkan kepada pembaca untuk mengemukakan pandangan balas.
Krisis pemikiran politik Islam
Tentang hubungan antara agama dan politik
Mengulas tentang dunia Muslim dan pemikiran mereka tidak dapat lari daripada mengulas sumber-sumber yang menjadi rujukan mereka dalam kehidupan, selain tentang ‘bagaimana’ mereka berinteraksi dengan dunia moden yang serba mencabar ini sambil berpegang dengan sumber-sumber (al-Quran, al-Hadis dan teks-teks tradisi) yang menjadi rujukan.
Soal hubungan agama dengan politik sentiasa menjadi topik yang berlarutan, namun malangnya seringkali ia berlangsung dengan penuh mengecewakan sejak berdekad-dekad lamanya.
Ia bermula dengan kekacauan cara berfikir yang ditimbulkan oleh sebahagian yang mengaku sebagai ‘salafi’ apabila perbincangan politik dibahaskan secara terlalu literal. Tokoh ilmuan Muslim antarabangsa, al-Qaradhawi mengulas dan mengkritik fenomena ‘literal dalam nas-nas berkaitan al-muamalat’ tersebut dalam banyak karya beliau seperti as-Siyasah as-Shariyyah fi Dhau’ Nusus as-Shariah wa Maqasidiha dan Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Shariah[i] atas nama az-Zhohiriah al-Judud yang membahaskan persoalan-persoalan agama secara terasing daripada objektif-objektif Shariah.
Di tangan mereka, hubungan agama dan kehidupan seperti hanyalah halalisation dan haramisation; lantas ditolak wacana-wacana semasa dalam pemikiran politik atas alasan bidaah. Al-Qaradhawi semasa mengulas fenomena tersebut menyatakan:
“Mereka menolak petikan daripada selain kita (Muslim), menganggapnya sebagai perkara baru dalam agama dan segala perkara baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan balasannya neraka. Lantas mereka menganggap demokrasi seluruhnya (kemungkaran) yang wajib ditentang, sementara penerimaan pandangan majority (bidaah Barat) yang diimport.” (al-Siyasah al-Shariyyah, hlm. 231)
Demokrasi haram, penubuhan parti haram, pengehadan tempoh pemerintahan haram dan segala idea-idea baru akan dibalas haram oleh mereka dan golongan yang menuruti mereka. Kita perasan di tanah air kita fenomena halalisation dan haramisation ini berlangsung hangat terutama menjelang musim pilihanraya. Contohnya kita tidak lupa apabila ada sebahagian golongan agama yang mengharamkan pengundian calon-calon bukan Muslim.
Penulisan ini bukan ruang untuk membincangkan secara ilmiah dan mendalam persoalan tersebut, tapi sesuatu yang sungguh wajar kita banteras ialah fenomena mereka yang ‘menghidupkan’ (mematikan!) wacana pemikiran politik Islam kontemporari dengan berkata “haram” semata-mata. ia adalah suatu krisis yang memandulkan khazanah pemikiran kita.
Awalnya ia mungkin sebuah tindak-tanduk yang mengharamkan falsafah politik, akhirnya tanpa sedar ia bertukar menjadi sebuah falsafah yang mengharamkan segala pandangan yang berbeda dengan mereka, “min tahrim al-falsafah ila falsafah at-tahrim” (daripada mengharamkan falsafah kepada falsafah yang mengharamkan) sebagaimana diulas seorang penulis bernama Turki al-Hamad dalam bukunya as-Siyasah bayn al-Halal wa al-Haram”.
Gerakan dan ideologi?
Tentang agama dan politik, sebahagian gerakan Islamis pula masih gagal menjelaskan secara kritikal bagaimana sebenarnya hubungan antara kedua-duanya.
Apabila disoal, mereka akan menjawab ringkas; “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Soal kepercayaan dan pendirian kaum Muslim yang sentiasa melihat kehidupan dan isu-isunya menerusi kaca mata tradisi agama mereka, ia dihormati dan tidak disangkal.
Namun wajarlah polemik hubungan antara agama dan politik ini dibincang kritis oleh mereka, contohnya soal bagaimana sebenarnya agama berinteraksi dengan politik? Soalnya juga ialah bagaimana membedakan antara pembahagian ruang dalam wacana agama dan politik?
Adakah memandangkan politik berhajat kepada agama, dan mereka merupakan sebuah gerakan politik berorientasikan agama, maka segala idea dan pandangan politik mereka merupakan ‘agama’?
Persoalan tersebut mestilah dibincang serius dan kritikal memandangkan jika tidak ia akan terus menambah kekeliruan dan campur aduk yang tidak seimbang antara dua ruang, dibimbangi akhirnya wujud unsur pemaksaan idea-idea politik atas nama agama dan autoriti khasnya dalam sebuah masharakat jamak agama dan budaya seperti Malaysia.
Demikian juga dengan persoalan antara peranan negara, komuniti, keluarga dan peribadi. Kerajaan bukan ibu bapa kita, ibu bapa kita bukan kerajaan. Komuniti ada tanggungjawabnya, kerajaan ada tanggungjawabnya. Keluarga, komuniti, sekolah, universiti dan kerajaan pasti akan mempunyai tanggungjawab yang berbeda, malah bentuk dan jenis kemungkaran yang mesti dicegah juga berbeda kuasa dan peranannya.
Rasuah, salah guna kuasa, kes-kes jenayah dan sebagainya antara kemungkaran yang mesti diselesaikan kerajaan, tapi etika berpakaian, waktu keluar malam dan sebagainya pula merupakan tugas ibu bapa, atau rakan-rakan (komuniti), bukannya tugas kerajaan.
Ada beberapa masalah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab oleh kerajaan dan komuniti, tetapi bentuk tanggungjawab pastinya berbeda. Ada pula isu-isu yang hanya melibatkan komuniti dan ada pula yang hanya berkaitan peribadi dan komuniti. Saya melihat, wacana pembahagian tugas dan peranan antara keluarga, komuniti dan kerajaan masih tidak berlangsung dengan baik oleh mana-mana kumpulan Islam sedangkan ia mempunyai perkaitan rapat dengan persoalan hubungan antara agama dan politik.
Gerakan Islamis dan kaum cendekia awam yang memberi perhatian terhadap perbincangan ini juga haruslah sedar akan keperluan untuk memperbaharui wacana-wacana tentang hubungan agama dan politik.
Pengalaman Islamis pada zaman kolonial sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka sedang hadapi pada zaman ini. Saya memberikan contoh apabila dibincangkan soal negara Islam dan negara sekular, kandungan perbincangannya pada hari ini mempunyai perbedaan dengan apa yang dibincangkan pada era kolonial dan awal pasca-kolonial.
Teori Barat mungkin menyatakan; secularization = freedom = religious pluralism = democracy, tapi akhirnya yang berlaku ialah secularization = colonialism = de-Islamization = dictatorship. Justeru apabila diajak mewacanakan soal negara Islam dan negara sekular, haruslah dinilai kembali wacana yang lalu dan disusun kembali menurut konteks hari ini dan menurut latar sesebuah negara, tanpa meninggalkan apa yang diyakini mereka. Demikian juga tidak wajar perbincangan tersebut hanya memberi kita dua pilihan sahaja iaitu sama ada hitam atau putih; sama ada negara Islam atau negara sekular.
Justeru tidak dapat tidak dalam projek pengharmonian antara agama dan politik ini, ditentukan apa itu objektif-objektif Shariah (fundamental values) di sebalik sekalian perdebatan dan wacana yang diadakan, contohnya antara objektif utama Shariah menerusi pintu politik ialah keadilan, keamanan, kemuliaan manusia dan kebebasan.
Dunia yang makin kompleks dan cabaran yang makin berbeda mengkehendaki penilaian semua tentang persoalan-persoalan di atas, dengan menyediakan jawapan yang tidak lagi utopia dan simplistik, tetapi lebih realistik dan menepati objektif-objektif Shariah yang mesti dicapai.
Negara untuk kebaikan semua warganegara, bukan untuk kepentingan golongan Muslim sahaja
Krisis dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita menjadi makin rumit apabila soal interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim telah dicacatkan menerusi perbincangan yang bersifat sektarian dan penuh dengan sentimen keagamaan, selain berdasarkan kaca mata hitam-putih.
Kita berada dalam kesempitan dada apabila para pemimpin jadong (iaitu jahat, bodoh dan sombong dan dibantu cita bencana – meminjam istilah Syed Husein al-Attas) telah mengambil kesempatan realiti kepelbagaian agama untuk mengapi-apikan antara Muslim dan bukan-Muslim, sekaligus menyempitkan wacana pemikiran politik Islam, khasnya berkaitan hubungan antara agama.
Antara yang terbaharu, ada kumpulan yang melaungkan slogan keIslaman dan kebangsaan Melayu menganggap bangsa selain warga Cina, India dan lain-lain sebagai berkewarganegaraan kelas kedua, mereka juga masih menyebarkan kebencian seperti menyebut “pendatang Cina” dan sebagainya, sedangkan semua merupakan warganegara dalam satu negara.
Prof Dr Louay Safi, tokoh intelektual Muslim yang terkenal telah menulis satu artikel menarik bertajuk Linas’a ila bina’ dawlah madaniyyah tahmi huquq al-muwathinin, la dawlah diniyyah tar’a masolih al-mu’minin (Ke arah membina negara madani yang melindungi hak-hak warganegara, bukannya negara agama yang menjaga kepentingan orang beriman), beliau menutup tulisan itu dengan menyatakan;
“Legitimasi politik terlaksana menerusi pelaksanaan prinsip-prinsip umum yang dibawa piagam Madinah bukannya menerusi pelaksanaan hukum-hukum fiqh yang khas untuk pengikut agama Islam. Perjanjian Madinah yang mentadbir kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat tidak menyentuh pelaksanaan hukum-hakam Islam dengan gambaran sempit yang diseru oleh sebahagian golongan beragama pada hari ini. Menerusinya ia mahu menukarkan sistem politik kepada sistem diktator yang religius, bertentangan dengan jawhar agama dan ruh Islam; keadilan, kesamarataan, saling membantu, saling bermaafan, menghormati kepelbagaian agama, pilihan-pilihan manusia dan kebebasan rakyat, jauh daripada dikte-dikte pemerintahan mutlak atau negara yang diktator.”
Ternyata politik berorientasikan ketakutan dan sentimen keagamaan dan perkauman telah mengalihkan perhatian banyak pihak akan perbincangan sebenar yang wajar diangkat. Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak telah memetik beberapa teks klasik mengenai hubungan antara Muslim dan bukan-Muslim dengan keluar dari konteks yang dikehendaki.
Mereka menimbulkan persoalan “kafir harbi” sedangkan sekalian rakyat sama ada penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Atheist, Agnostik dan lain-lain merupakan warganegara yang sah, mempunyai hak-hak yang mesti diberi dan mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksana.
Hal kesamarataan kewarganegaraan tersebut telah diulas oleh ramai tokoh ilmuan Muslim seperti Fahmi Huwaydi menerusi karya terkenalnya Muwathinun La Dzimmiyyun, al-Qaradawi dalam beberapa tulisannya; antaranya al-Want wa al-Muwatanah dan Dr Muhammad Imarah turut menulis dalam pelbagai bukunya. Salah satunya ialah dalam buku Thawrah 25 Yanayir (Revolusi 25 Januari), beliau semasa mengulas tentang konsep kewarganegaraan telah menulis:
“Kesetiaan seseorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan ia berlepas diri daripada musuh-musuh negara tersebut. Sepertimana untuk negara ada hak-hak ke atas warganegara, demikian juga sesungguhnya untuk warganegara ada hak-hak ke atas negara dan rakyatnya. Antara hak yang terpenting ialah; kesamarataan dalam persamaan peluang (equal opportunities), penafian diskriminasi dalam hak-hak politik, sosial dan ekonomi disebabkan warna kulit, kelas dan agama, sambil merealisasikan perpaduan sosial yang menjadikan rakyat jasad yang satu.”
Demikian sebagaimana tersebar dalam teks-teks klasik dan semasa politik Islam bahawa interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim terasnya ialah konsep Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna iaitu soal hak dan tanggungjawab sama ada Muslim ataupun bukan Muslim adalah sama dalam sesebuah negara. Malangnya konsep ini tidak begitu diangkat ke tengah-tengah masharakat di Malaysia gara-gara sentimen agama dan kaum yang sempit.
Selagi kita tidak keluar daripada sentimen keagamaan dan perbuatan memetik teks-teks klasik politik tanpa meraikan realiti semasa, selagi itulah kita akan terus terjerumus dalam gua kejahilan dan kemunduran karena kita akan gagal memberi fokus terhadap projek pembaikian dan perobahan dalam pemikiran kontemporari politik Islam.
Makalah ini bersambung ke makalah bertajuk Ke Arah Pencapaian Islah Muslim
Kerajaan Negeri Selangor mengelak tanggungjawab
Persatuan Kristian Malaysia: Kerajaan Negeri Selangor Mengelak Tanggungjawab Dilaporkan pada 2 April 2014 Kerajaan Negeri Selangor telah menasihati Lembaga Alkitab Malaysia (BSM) untuk menulis kepada Peguam Negara meminta pembebasan terhadap Alkitab yang disita dari premis mereka pada 2 Januari 2014. Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam cubaannya mencuci tangan dalam perkara itu. Hakikatnya bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang bertindak di bawah kuasa yang kononnya diberikan kepadanya oleh enakmen Negeri, menyerbu premis BSM dan merampas lebih 300 buah Alkitab dan Bup Kudus, Alkitab ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban masing-masing. Alkitab ini masih dalam simpanan mereka. Pegawai-pegawai JAIS hanya berkuasa bertindak selepas berunding dan atas nasihat Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab terhadap serbuan BSM, JAIS bertindak sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri Selangor. Oleh itu, adalah bertentangan jika Kerajaan Negeri Selangor sekarang meminta BSM untuk melihat kepada Peguam Negara untuk menyelesaikan perkara ini. CFM menggesa dengan tegas Kerajaan Negeri Selangor untuk bertindak tanpa berlengah-lengah lagi mengarahkan pemulangan dengan selamat dan segera Alkitab kepada BSM. Ia adalah satu cadangan yang lucu bahawa JAIS mempunyai kuasa tertentu untuk menyita Alkitab, dan bahawa hanya dengan kelulusan dan kebenaran Peguam Negara bahawa Alkitab yang sama boleh di lepaskan. Ini adalah tidak lain daripada ‘menolak tanggungjawab’, dan sama sekali tidak boleh diterima. Kerajaan Negeri Selangor adalah berkewajipan untuk bertindak dalam perkara ini dan tidak mengelakkan dari bertanggungjawab. Perintahkan pengembalian Alkitab itu sekarang. Ditandatangani Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Kristian Malaysia
]]>ISMA, jangan hentam keromo
kecaman yang dibuat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) terhadap Projek Dialog dengan rasa amat hairan. Kecaman ISMA ini telah dimuatkan dalam satu laporan di laman web ISMA bertarikh 10 April 2014 bertajuk “Projek Dialog Penentang Identiti Kebangsaan”. Latar Kecaman yang dikeluarkan oleh ISMA ini dibuat hanya berasaskan beberapa teks ringkas yang dipetik daripada akaun media sosial twitter Projek Dialog. Antara kenyataan yang dikeluarkan termasuklah Projek Dialog menentang Identiti Kebangsaan yang diambil daripada Perlembagaan Persekutuan serta mengaitkan dengan kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Diraja di Malaysia. Projek Dialog menganggap laporan yang dikeluarkan ini sebagai suatu tindakan yang terburu-buru tanpa usul periksa. ISMA sepatutnya memahami dan mendalami isu yang dibangkitkan dahulu sebelum mengeluarkan kecaman terhadap kami. Penjelasan dan respon Kami mengambil kesempatan disebalik kekeliruan ISMA ini untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan Projek Dialog serta penilaian wacana identiti nasional yang kami bangkitkan semula ini. Pertama sekali, Projek Dialog bukanlah suatu entity atau organisasi (seperti ISMA) yang mempunyai agenda tersendiri yang menyokong kepentingan golongan tertentu secara eksklusif dan meminggirkan segelintir golongan lain dI Malaysia hingga mengundang perselisihan dalam masyarakat yang berkepelbagaian ini. Projek Dialog sebenarnya merupakan satu platform yang dibentuk bertujuan membuka wacana-wacana baru secara kritikal yang kami lihat perlu ditimbulkan, dibahaskan serta didebatkan atas kepentingan mengiktiraf kekayaan idea dan budaya masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian. Atas dasar ini, sememangnya Projek Dialog menggunakan kaedah yang kritis dalam merungkai persoalan-persoalan penting terhadap pelbagai wacana yang mempunyai kepentingan umum kepada masyarakat Malaysia termasuk berkenaan Agama, hubungan antara kaum, serta pembinaan Negara. Kami juga melihat kecaman ISMA ini dibuat tanpa usul periksa yang mendalam. Teks ringkas di laman Twitter Projek Dialog yang dipetik ISMA itu merupakan laporan ringkas hasil perbincangan dalam forum “Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia”, di mana peserta yang terlibat dalam program ini sama-sama memberi pandangan dan penilaian konsep identiti nasional, Bangsa Malaysia, pencapaiannya dan juga permasalahannya sejak diperkenalkan pada tahun 1991. Perbincangan ini melibatkan penyertaan anak-anak muda daripada pelbagai latarbelakang dan organisasi termasuk ABIM, Lawyers for Liberty, Komuniti Orang Asli dan lain-lain kumpulan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Sememangnya perbezaan pandangan timbul dalam perbincangan ini, namun sebagai warga Malaysia yang matang, perbezaan tidak semestinya perlu dilihat sebagai satu permasalahan tapi sebagai satu peluang untuk kita memahami realiti perbezaan pendapat dalam masyarakat Malaysia yang rencam dengan pengharapan, pertemuan antara kumpulan berbeza akan dapat meningkatkan persefahaman dalam menghadapi isu-isu kompleks yang timbul dalam masyarakat kita. Perbincangan ini jauh sekali daripada budaya hentam-menghentam pihak yang berbeza seperti yang sering dilakukan oleh beberapa organisasi lain termasuklah ISMA. Fahami Perlembagaan Persekutuan dengan betul Laporan yang sama turut memetik kenyataan Naib Presiden I ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yang berpandangan secara ‘hakikatnya’, “Perlembagaan Negara adalah identiti kebangsaan Negara yang merangkumi Islam, Melayu dan Institusi Raja”. Kami merasakan terdapatnya permasalahan dalam memahami konsep identiti nasional daripada kenyataan ini. Meletakkan Perlembagaan Negara sebagai asas identiti nasional melalui sudut pandang ISMA ini perlu dipersoalkan. Kami melihat Perlembagaan Negara merupakan suatu dokumen perundangan tertinggi yang mempunyai legitimasi dan perlu diakui semua warganegara yang bernaung di bawah institusi kenegaraan di Malaysia. Namun, ini jauh sekali daripada memberi definisi khusus terhadap identiti nasional seperti yang dihujahkan ISMA. Malah, tiada ketetapan yang jelas dalam Perlembagaan Negara khusus berkenaan identiti nasional dan ini dapat difahami kerana bukanlah tujuan Perlembagaan itu dibuat untuk menetapkan identiti suatu warganegara. Persoalan yang penting untuk kita fahami berkenaan konsep identiti nasional, di mana subjek yang menjadi tumpuan ialah warga (orang/ masyarakat/ rakyat) dan bukan Negara (state/ struktur/ sistem). Oleh itu, wacana identiti nasional perlulah berasaskan gagasan yang boleh diterima keseluruhan masyarakat Malaysia dengan mengambil kira arah dan kepentingan bersama. Atas sebab ini, penilaian semula perlu dibuat terhadap konsep Bangsa Malaysia yang menjadi salah satu elemen penting dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991:
“..membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, hak dan keadilan, dan membentuk sebuah ‘Bangsa Malaysia’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”
Pernyataan di atas jelas menunjukkan gagasan identiti nasional yang dicita-citakan dengan hasrat membina perpaduan dan keharmonian warga Malaysia, dan bukanlah hanya satu cedokan simplistik Perlembagaan seperti yang difahami ISMA.
Namun, apa yang ketara mutakhir ini ialah agenda Bangsa Malaysia seakan-akan tidak Berjaya atau telah digagalkan dengan berkembangnya organisasi-organisasi yang begitu giat memperjuangkan agenda yang hanya eksklusif kepada golongan tertentu (seperti ISMA) tanpa usaha meningkatkan integrasi sesama warga Malaysia kepada satu identiti Bangsa Malaysia yang bersepadu. Isma berhujah secara selektif Satu perkara lagi berkenaan kenyataan ISMA yang berhujah secara selektif dalam memahami Perlembagaan dengan hanya mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Institusi diRaja. Sedangkan terdapat banyak lagi perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya di bawah Perkara 5 – 13, berkenaan hak-hak asas bertemakan kebebasan, kesamarataan dan kepelbagaian, yang selayaknya diberi pertimbangan kalaupun hendak menjadikan Perlembagaan sebagai asas pembentukan identiti nasional. Malah kami merasakan ISMA memahami Perlembagaan Persekutuan dengan begitu sempit tanpa dinamika untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman, seakan-akan ianya suatu dokumen yang sakral, sempurna dan tidak berubah. Seperti membandingkan Perlembagaan ini dengan kitab suci Al-Quran pula. Sedangkan Perlembagaan Malaysia yang kita warisi kini asalnya dibentuk melalui perangkaan British sebelum Kemerdekaan Malaya lagi pada tahun 1957, dan sejak itu telah mengalami perubahan dengan lebih 600 pindaan telah dibuat sehingga ke hari ini. Kami tidak melihat terdapatnya sebarang permasalahan untuk menilai kembali Perlembagaan Persekutuan dengan tumpuan mencipta idealisme yang kukuh berhadapan realiti semasa hari ini untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara bangsa yang berjaya. Kunjungilah forum Projek Dialog yang akan datang Akhir kata, kami menyeru ISMA supaya lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan atau laporan terutamanya yang berbentuk kecaman terhadap pihak lain. Namun bagi kami, usaha untuk menggalakkan dialog dalam membincangkan pelbagai isu untuk kepentingan Negara perlu diteruskan. Kami mengambil peluang ini untuk mengajak ISMA untuk turut serta dalam program-program Projek Dialog yang akan datang supaya dapat meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian dan wacana kritis di Malaysia.
Indahnya Malaysia: Sekolah agama Islam
Dialog antara agama: nilai dan kepentingan
Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk dimana rakyatnya berbilang kaum, bangsa dan agama. Agama Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan membentuk komposisi 60.4% manakala agama Kristian yang merupakan agama majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak membentuk komposisi 9.2% penduduk Malaysia berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan dan Statistik Negara.
Kedua-dua agama ini sering mendapat perhatian nasional ekoran daripada rentetan demi rentetan isu yang mengoncang sensitiviti agama masing-masing.
Isu Kristianisasi ke atas umat Islam, isu murtad dalam kalangan umat Islam sendiri dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam merupakan suatu kekhuatiran yang amat serius bagi umat Islam di negara ini.
Tidak kurangnya juga masyarakat Kristian yang juga bersifat defensif apabila sesetengah isu dibangkitkan, contohnya: isu peng-Islaman di kawasan pedalaman, isu sekolah mubaligh kehilangan identiti, isu larangan pengunaan kalimah Allah, isu ancaman bakar Alkitab oleh segelintir fundamentalis Islam dan isu baling bom di gereja.
Disebalik pelbagai kemelut ni, pelbagai stereotaip muncul yang sedikit sebanyak bakal meretakan perpaduan yang terbina. Justeru itu, usaha untuk menjernihkan stereotaip ini harus bagi mengelakkan suasana ketegangan agama yang serius. Dialog antara agama adalah salah satu usaha baik bagi memulihkan kemelut yang ada bagi menunjukkan toleransi dan empati terhadap satu sama lain secara hormat.
Dialog
Penulis berpeluang untuk berdialog bersama ahli akademik yang mewakili satu pertubuhan bukan kerajaan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian di Malaysia. Penulis berasa sangat teruja kerana dapat bersua muka bersama mereka bagi mendapat pandangan mereka.
Atas dasar itu penulis menyahut seruan Gereja Katolik yang merupakan pegangan hidup penulis untuk membina jambatan dengan agama lain.
Sebagaimana yang disarankan oleh Paus Fransiskus dalam Apostolic Exhortation Evangelii Gadium di mana beliau membincang dialog antara agama, “Satu sikap keterbukaan terhadap kebenaran dan dalam cinta kasih harus membentuk dialog dengan penganut dalam kalangan agama bukan Kristian, walaupun dalam pelbagai kancah halangan dan kesukaran, terutama dalam bentuk fundamentalisme dalam kedua belah pihak. Dialog antara agama adalah satu syarat penting untuk keamanan di dalam dunia, maka ianya menjadi satu tanggungjawab seorang Kristian termasuk komuniti agama lain…Dalam cara sedemikian, kita belajar untuk menerima yang lain serta cara mereka hidup, berfikir dan bersuara. Kita juga boleh menyertai satu sama lain dalam mengangkat tanggunjawab dalam memberi keadilan dan keamanan, yang sepatutnya menjadi satu prinsip asas terhadap semua petembungan kita. Dialog yang memacu keamanan sosial dan keadilan itu sendiri melangkaui kesemua pertimbangan praktikal, adalah satu komitmen beretika yang akan membawa ke arah satu situasi sosial. Usaha dilaksanakan dengan satu tema yang khusus akan berupaya menjadi proses saling mendengar, dimana kedua-dua belah pihak dapat memperkayakan dan dimurnikan. Usaha ini, hasilnya juga akan membawa kearah cinta terhadap kebenaran.”
Dalam sesi dialog itu, NGO tersebut lantang menyuarakan penggunaakan kalimah Allah dari segi kemurnian kata nama khas dan penggunaannya yang bersifat eksklusif. Manakala, penulis menyampaikan bahawa hak umat Kristian menggunakannya adalah berpunca dari segi sejarah, budaya, bahasa dan penggunaanya yang bersifat sejagat.
Sementara itu hadirin ramai serta terdiri daripada berbilang kaum dan agama yang sudah tentu akan menhangatkan suasana dialog, jadi sesi soal jawab bersama panelis juga tidak lepas daripada soalan-soalan kontroversi. Ternyata dialog ini terkesan dalam membina suasana “saling mendengar” bukan sahaja antara penganut Islam dan Kristian bahkan yang lain.
Disebalik kehangatan dialog tersebut terdapat beberapa perkara yang harus dielakkan bagi membentuk suasana dialog yang sihat. Penulis mendapati terdapat pola tidak sihat dalam pengutaraan pendapat antara panelis dan para hadirin. Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa dialog bukan merupakan satu cara bagi memuktamadkan penyelesaian masalah tetapi dialog antara agama bagi penulis disifatkan lebih kepada pencarian alternatif terhadap permasalahan hidup bermasyarakat.
Pengajaran
Satu sahaja perkara yang penulis ingin kritik ialah sikap “Saya selalu betul, kamu selalu salah” atau istilah etnosentrik/etnosentrime ketika berdialog. Pandangan sesuatu kaum, bangsa atau agama majoriti yang mengatakan hanya itulah yang betul dan tepat adalah tidak wajar untuk ditonjolkan.
Pendapat tersebut tidak wajar dipaksakan terhadap orang lain yang berlainan pegangan. Dalam berdialog, sikap tersebut harus ditukar kepada “setiap pendapat mungkin ada betulnya.” Namun, dalam dialog antara agama usaha “saling mendengar” itu tidak hanya bersifat mendengar semata-mata tanpa bersuara.
Setiap pendapat dalam dialog adalah penting. Dalam membicarakan isu seperti kalimah Allah, perkara ini timbul menjadi polemik agama apabila Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2007 terhadap akhbar mingguan Katolik Herald. Perkara yang sepatutnya dibincangkan bagaimana kemelut ini wajar diselesaikan atau diredakan. Namun, hal ini tidak ditekankan pula dalam dialog ketika itu kerana kekangan pendapat bersama NGO Islam tersebet.
Disamping itu, selama lebih 3 jam dialog, penulis amat positif dengan hasil dialog tersebut. Banyak input serta output diperoleh dalam memahami permasalahan isu kalimah Allah antara Islam dan Kristian. Rata-rata para audiens juga bersikap terbuka walaupun ada yang tidak berpuas hati terhadap pendapat panelis sama ada pihak Muslim mahupun pihak penulis. Pertembungan ini adalah positif walaupun berlainan pendapat.
Memahami satu sama lain
Penulis berupaya untuk memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia setelah isu tersebut masuk ke dalam kes mahkamah dan diwar-warkan media arus perdana berdasarkan hujah mereka dan begitu juga penulis berasakan audiens Kristian yang hadir juga berupaya untuk memahami sensitiviti mereka.
Sementara itu, penulis juga berharap agar pihak NGO Muslim tersebut dan audiens Muslim yang hadir juga terkesan dalam memahami tentang niat serta kewajaran umat Kristian di Malaysia menggunakan kalimah tersebut tanpa mengundang rasa tidak senang terhadap umat Kristian.
Penulis sangat optimis bahawa dialog seperti begini wajar diteruskan. Tatkala isu ini masih dalam kes mahkamah, terdapat banyak lagi isu-isu keagamaan lain yang menanti ibarat telur dihujung tanduk yang penulis rasakan perlunya dialog antara agama ini diadakan. Akhir kata, penulis sekali lagi inigin memetik kata-kata Paus Fransiskus dalam memacu dialog antara agama terutama bagi penganut Kristian dan Islam sebagai renungan bersama.
“Hubungan kita terhadap penganut Islam telah membawa kepada kepentingan yang utama, memandangkan kehadiran mereka yang signifikan di negara-negara tradisi Krisitian, dimana mereka dibenarkan untuk beribadat secara bebas dan menjadi sebahagian dalam masyarakat. Kita semestinya tidak lupa bahawa mereka berpegang pada iman Abraham, dan bersama kita bersujud menyembah ‘Allah’ yang tunggal dan maha rahim, yang akan menghakimi manusia pada hari kiamat…Kristian sepatutnya menerima dengan setiakawan dan hormat terhadap imigran Muslim di negara kita (Kristian) dan pada masa yang sama kita juga berharap dan meminta untuk diterima dan dihormati di negara Islam. Saya (Paus Fransiskus) meminta dan dengan rendah diri memohon mana-mana negara untuk memberi umat Kristian kebebasan mereka beragama dan mengamalkan ajaran mereka, sebagaimana umat Islam nikmati di negara Barat. Berhadapan dengan siri peristiwa keganasan fundamentalisme yang mengecewakan, hormat kita terhadap pengikut Islam sejati yang membawa ke arah generasi keamanan, dimana bagi Islam yang sebenar dan tafsiran Al-Quran yang sewajarnya menentang segala bentuk keganasan.”